Mesti ramai pembaca di luar sana yang beranggapan hubungan antara Shila Amzah dan Johan As’ari sudah melangkah ke fasa seterusnya sebaik membaca tajuk di atas.
Apatah lagi sejak kebelakangan ini kedua-duanya gemar berkongsi foto bersama dan berbalas komen di laman sosial seakan pasangan yang sedang dilamun cinta.
Bahkan ibu masing-masing juga dilihat kerap meluangkan masa bersama-sama. Ini sekaligus menguatkan dakwaan yang mengatakan sesuatu sedang terjalin di antara penyanyi dan pelakon terkenal ini.
Bagaimanapun, tajuk diatas sebenarnya merujuk kepada keputusan Shila yang telah memilih Johan sebagai pelakon utama di dalam muzik video terbarunya.
MV Masih Aku Cinta yang pertama kali dipertontonkan kepada media pada petang semalam sedikit sebanyak menimbulkan persoalan berkenaan hubungan mereka.
Menurut Shila, pemilihan Johan dibuat atas persetujuan bersama dengan pengarahnya, Ghaz Abu Bakar bagi mewujudkan kesan mendalam terhadap lagu dan MV tersebut.
Saya serahkan kepada Ghaz untuk memilih. Bila dia dapat tahu saya dan Johan digosipkan bercinta, dia panggil Johan untuk menjadi pelakon utama. Tujuannya adalah untuk membuatkan penonton merasa keperitan di sebalik lagu tersebut. Kalau nak tahu, Ghaz suruh Johan bayangkan bagaimana rasanya putus cinta dengan saya untuk menghasilkan emosi sedih.
Namun di dalam kehidupan sebenar, penyanyi ini masih selesa berkawan rapat dengan Johan tanpa mengesahkan hubungan mereka sebagai pasangan bercinta.
Johan antara sahabat saya yang paling rapat. Kami lebih selesa begini daripada mengisytiharkan kami bercinta.
Bagaimanapun, Shila akui langsung tidak menolak seandainya bertemu jodoh dengan Johan ataupun bakal menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.
Siapalah saya untuk menolak jodoh? Saya terima walau siapa pun jodoh saya tetapi biarlah lelaki itu seorang yang baik dan cukup ilmu agamanya.Andai kata rezeki saya untuk berkahwin tiba dalam masa terdekat, saya juga tidak menolak. Tetapi buat masa sekarang saya akan tumpukan perhatian dengan kerjaya saya dahulu. Impian saya besar sebenarnya, dan saya sedang lakukan apa yang perlu untuk capai cita-cita saya.
Shila yang ditemui sewaktu majlis Pengisytiharan Bintang Bertaraf Antarabangsa bersama Warner Music Malaysia di Damansara semalam sempat melahirkan rasa bersyukur kerana dapat bernaung di bawah syarikat rakaman terkemuka itu.
Pihak Warner menawarkan saya berada di bawah naungan mereka dan saya fikir ini adalah peluang terbaik kerana ia dapat memudahkan saya dalam menguruskan kerjaya seni di Malaysia.Memandangkan saya banyak menghabiskan masa di China, saya perlukan pengurusan yang boleh mempromosikan album saya di negara ini.
Bagi yang ingin melihat bagaimana Johan berlakon dalam MV Masih Aku Cinta, anda perlu menunggu sedikit masa lagi sehingga ia siap sepenuhnya. Pelancarannya akan diberitahu kelak oleh pihak Warner Music Malaysia sendiri.
Ranking: 5
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment