DI saat pelayar maya berlumba-lumba memuat turun dan berkongsi laman tontonan filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster 2, di internet, mungkin ramai yang tidak menduga perasaan pengarah, penerbit dan pelakon filem ini.
Bukan hanya bermaharajalela di laman maya, malah ada pihak yang senang hati mula menjual cakera padat (VCD) di pasar-pasar malam pada harga serendah RM5.
Bimbang dan sedih memikirkan ‘rompakan besar-besaran’ berleluasa dalam sejarah perfileman tempatan, pelakon, Soffi Jikan turut menitiskan air mata.
Walaupun terkenal dengan watak antagonis, Soffi tidak dapat menahan kekecewaannya apabila filem lakonannya itu bocor di internet sedangkan ia masih belum ditayangkan di pawagam.
Ketika ditemu bual Zass, Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan, 43, menangis apabila karya tempatan ‘dicuri’ sewenangnya oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Saya memang sedih, dah berkali-kali saya menangis kerana kecewa dengan perkara ini. Memang mengaibkan, memalukan dan mengecewakan!
“Saya minta sangat, tolong padam! Tolong jangan beli VCD itu! Mereka merompak karya bangsa sendiri secara berleluasa.
“Saya sangat sedih.. Sejujurnya, kami masih belum menerima bayaran untuk kerja kami sedangkan karya itu sudah mula diedar secara haram.
“Tolonglah jangan buat macam ni… Saya merayu kepada anda semua…,” rintih Soffi.
Menurut Soffi, bukan hanya pengarah, Syamsul Yusof dan penerbit sahaja yang kecewa, malah krew produksi dan pelakon turut bersedih.
“Mereka yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan. Ia adalah cara terbaik,” katanya. – Sinar Harian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment