'Semua orang salah, bukan saya seorang' - Rajagobal
















JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal terus mempertahankan dirinya meskipun 
gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan persahabatan siri jelajah 
di Jepun.

Terus berdalih tanpa memberi alasan kukuh mengenai prestasi anak buahnya termasuk gagal 
menjaringkan gol dalam tiga perlawanan tersebut, Rajagobal sebaliknya memberitahu semua 
pihak harus bertanggungjawab.

“Saya kena bertanggungjawab, pasukan kena bertanggungjawab dan pemain juga kena 
bertanggungjawab. Semua pihak kena bertanggungjawab.

“Memang ada masanya kita tidak akan mencapai apa yang kita mahu, apa yang penting 
pasukan kebangsaan memerlukan sokongan daripada semua peminat,” katanya selepas 
perlawanan terakhir semalam.

Semalam, hari malang skuad negara berterusan apabila kebangkitan yang diharapkan 
akhirnya bertukar menjadi igauan ngeri setelah Harimau Malaya diaibkan Tokyo Verdy 0-5.

Sebelum itu, Harimau Malaya tewas kepada dua kelab Divisyen Satu Liga Jepun iaitu 
Shonan Bellmare (0-5) dan Shimizu S Pulse (0-2).

Apa yang pasti, kekalahan semalam pastinya memberikan kesan besar terhadap nasib 
Rajagobal apabila Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak FAM bersidang 
hari ini untuk membincangkan kedudukan pengendali kebangsaan itu.

Apakah Rajagobal masih berkesempatan membawa cabaran Malaysia pada Kelayakan 
Piala Asia 2015 menentang Bahrain dan Qatar pada Oktober serta November ini?

Biarpun ramai menjangkakan bahawa Rajagobal akan terus membimbing Harimau 
Malaya, namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika pengendali berusia 57 tahun itu
diarah meletak jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Ini kerana, selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar 
mampu melakar dua kemenangan dan itu jelas satu rekod yang cukup memalukan.

Dua kemenangan itu direkodkan ketika Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 
dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu dan menang 4-0 ketika 
menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada aksi persahabatan bulan lalu.

Harimau Malaya dijangka tiba ke ibu negara hari ini selepas ‘berguru’ hampir dua 
minggu di Jepun sebelum mereka di jadual menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona 
pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil 10 Ogos depan.

Selepas itu, skuad negara bertemu China dalam satu lagi aksi persahabatan pada 
10 September sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang 
Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Oktober depan.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Networks Media All Rights Reserved