Bahaya Gincu


Gincu yang dibeli tampak cantik apabila dicalit pada bibir, tetapi selepas beberapa kali menggunakanya anda mendapati bibir menjadi kering dan paling membimbangkan apabila bibir bertukar menjadi gelap dan tidak berseri lantas mengingatkan anda mengenai kandungan e-mel yang diterima mengenai ‘gincu pembunuh’.
E-mel itu mendakwa beberapa kajian dilakukan di Barat mendapati sesetengah gincu yang berada di pasaran dunia tidak selamat digunakan kerana mengandungi bahan kimia seperti plumbum yang boleh mendatangkan kesan tidak baik kepada kesihatan termasuk barah kepada pengguna. Jika kajian itu benar, pasti ia berita yang membimbangkan bagi wanita kerana boleh dikatakan sebahagian besar masa anda akan tampil mengenakan gincu di bibir.
Bahaya plumbum dalam gincu
Hebat atau tidak fungsi gincu, dengan hanya secalit sapuan nipis pada bibir, penampilan anda boleh berubah. Justeru, sama ada diperakui atau tidak, gincu adalah sahabat akrab wanita dan fungsinya dalam menambah seri wajah seseorang sememangnya tidak boleh dinafikan.
Malah, selaras dengan perkembangan teknologi, pelbagai jenis gincu daripada jenama antarabangsa membanjiri dunia. Ada yang memilih gincu kerana jenamanya yang gah dan ada pula yang meletakkan kriteria dengan memberi keutamaan kandungan dalam gincu, sama ada baik untuk kesihatan bibir atau sekadar bahan yang mencantikkan. Tetapi jika anda pengguna yang bijak semua itu wajar diambilkira sebelum anda membeli gincu.
Ada pihak mendakwa beberapa jenama gincu yang berada di pasaran mengandungi plumbum. Bahan kimia plumbum yang dikatakan boleh menyebabkan barah, namun sehingga ke hari ini tiada bukti kukuh mengenai wujudnya kandungan plumbum di dalam gincu.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nik Idris Nik Yusoff, berkata berdasarkan had standard pengawalan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), plumbum tidak dibenarkan digunakan di dalam pembuatan sebarang produk kosmetik termasuk gincu, tetapi andai kata bahan kimia berkenaan dikesan di dalam gincu, ia mungkin berpunca daripada plumbum yang wujud dalam persekitaran.
“Plumbum adalah bahan yang boleh berada di mana-mana saja. Ia mungkin ada di dalam udara yang kita sedut atau asap yang dikeluarkan kenderaan. Justeru, ia boleh hinggap pada gincu yang dibuka ketika ingin digunakan.
“Malah, tidak mustahil dikatakan plumbum pernah wujud dalam pewarna yang digunakan dalam pembuatan gincu pada suatu ketika dulu. Ada pelbagai kemungkinan sebenarnya bagaimana plumbum boleh berada di dalam kandungan gincu,” katanya ketika ditemui di UKM, baru-baru ini.
Beliau berkata, plumbum adalah sejenis logam bersifat neurotoksin yang kekal apabila berada di dalam badan manusia dan tidak boleh dihapuskan, justeru jika ia wujud dalam jumlah yang banyak, kemudaratan akan berlaku kepada sistem badan.
Ada pihak yang mendakwa gincu yang mengandungi plumbum boleh dikenalpasti dengan satu ujian mudah, iaitu jika ia bertahan lama di bibir, besar kemungkinan gincu berkenaan mengandungi plumbum. Kaedah lain pula ialah sapukan sedikit gincu ke bahagian tapak tangan anda. Gunakan cincin emas untuk menggosok bahagian tapak tangan yang disapu dengan gincu. Jika warna gincu bertukar kepada hitam, ia mengesahkan bahawa bahan kimia berbahaya itu ada di dalam gincu anda.
Begitupun, Dr Nik Idris berkata, sehingga kini beliau tidak menemui sebarang fakta sahih yang menyatakan plumbum terdapat di dalam gincu, sementelahan pula setiap bahan dalam produk kosmetik yang diimport lazimnya mendapat kelulusan daripada FDA.
Dr Nik Idris berkata, sekiranya wujud kandungan plumbum dalam gincu sekalipun, kepekatan yang dibenarkan teramat sedikit iaitu 0.1 ppm atau 0.1 bahagian per juta dan tidak mungkin mendatangkan keburukan kepada pemakainya melainkan jika plumbum berkenaan terlalu banyak, barulah akan menyebabkan kemudaratan.
“Kita mengetahui gincu diperbuat daripada lilin yang dibenarkan, minyak dan emolien. Lilin itu merujuk kepada lilin lebah ((beeswax) atau lilin pokok Brazil, minyak pula adalah minyak zaitun, minyak mineral, minyak jarak, cocoa butter, lanolin, petrolatum dan bahan pewarna. Semua bahan ini tidak mendatangkan kemudaratan kepada manusia.
“Kebelakangan ini pula, bahan seperti pelembap, vitamin E, aloe vera, kolagen, asid amino dan bahan pelindung cahaya matahari diadun di dalam gincu bagi memberi lebih fungsi dan perlindungan kepada pengguna. Bahan berkenaan akan membuatkan pemakai mendapat lebih banyak manfaat untuk bibir mereka,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, isu mengenai bahan kimia berbahaya dalam alat kosmetik hangat diperkatakan dan sering dibahaskan khususnya di ruang sembang di internet. Sejauh mana kebenarannya, tiada siapa yang tahu kerana tiada kajian yang benar-benar tampil menunjukkan bukti mengenai kehadiran plumbum dalam gincu tertentu kecuali sedikit dakwaan atau kenyataan plumbum pernah wujud dalam kepekatan dua hingga empat kali nilai yang dibenarkan FDA. Mungkin juga berita yang mendakwa gincu jenama tertentu mempunyai kandungan plumbum berbahaya disebarkan bagi mensabotaj jenama terbabit ataupun benar wujud dalam produk awal, tetapi sudah ditarik balik dari pasaran.
Begitu pun, bagi mengembalikan kepercayaan pengguna dan mungkin juga strategi jualan beberapa jenama kini tampil dengan kempen promosi yang menyatakan produk mereka tidak mengandungi atau bebas plumbum. Apa yang penting, sebagai pengguna, jadilah pengguna yang bijak dan ketahui apa kandungan bahan dalam produk yang anda beli.
Pengguna semakin peka
Ketua Pegawai Operasi LiveLife Sdn Bhd (LiveLife), Aileen Chan, berkata wanita kini bijak menilai mengenai keperluan dandanan diri yang sesuai dengan mereka selain wujudnya kesedaran mengenai isu keselamatan mengenai kandungan produk kosmetik terutamanya gincu yang menjadi pilihan mereka.
“Kepekaan pengguna khususnya wanita terhadap isu kosmetik yang selamat digunakan meningkat kebelakangan ini. Pengeluar kosmetik kini mempunyai perspektif yang sangat positif dengan memberi penekanan kepada hayat kehidupan.
“Sejajar dengan falsafah hayat kehidupan itu, pengeluar kosmetik juga meletakkan teras produk yang mereka pasarkan adalah produk yang membawa kebaikan kepada kesihatan dan kecantikan selain bersifat semula jadi dengan cara yang berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, LiveLife mengeluarkan produk kosmetik yang selamat digunakan oleh wanita tanpa perlu berasa was-was mengenai bahan yang digunakan dalam pembuatan kosmetik itu.
“Kami menawarkan kosmetik yang selamat digunakan dan diperakui oleh pihak berkaitan mengenai kesahihan bahan yang diadun untuk menghasilkan kosmetik berkenaan. Melalui himpunan TruColors, kami melancarkan pelembap bibir khusus untuk pengguna dan selamat digunakan walaupun dalam jangka masa panjang.
“TruColors dicipta untuk pengguna yang mementingkan kesihatan kerana himpunan ini bebas daripada plumbum, bahan kimia yang boleh menyebabkan barah, bebas toksid dan hanya menggunakan bahan yang disahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) saja,” katanya.
INFO: Gincu
# Pada zaman sebelum merdeka, ada kisah dicatatkan wanita menggunakan kertas berwarna merah yang digunakan untuk membuat gubahan bagi mewarnakan bibir mereka.
# Menyapu madu ke bibir boleh menyihatkan bibir. Apabila bibir sihat, ia akan kelihatan warna merah jambu secara semula jadi dan anda tidak perlu menggunakan gincu berlebihan untuk mencantikkan bibir.
# Halia juga pernah dijadikan bahan pemerah bibir secara semula jadi.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Networks Media All Rights Reserved